Jumlah Paparan Halaman

Selasa, Mac 02, 2010

APA ITU NOVEL GRAFIK? Teks dipetik dari WACANA INDUSTRI KREATIF 1: BERSAMA PEREKA BENTUK GRAFIK CEREKA BERGAMBAR, ASWARA 25 FEBRUARI 2010, KL

Novel grafik

Novel grafik menggunakan pendekatan grafik berbentuk illustrasi (biasanya dalam format komik) bagi penyampaian naratif yang lengkap. Genre ini seperti mana komik yang menjadikan seni lukis/visual sebagai pendokong cerita. Ia banyak kelihatan di toko buku dan kedai komik terpilih. Jarang dilihat bahan ini berada di ‘newsstand’. Berbanding komik biasa, novel grafik mudah memasuki ruang perpustakaan.

Istilah ‘novel grafik’ atau ‘graphic novel’ sering mendapat definisi yang pelbagai. dari kritikan,penafian dan penaksiran yang penuh kontroversi. Persembahan yang mirip atau sama dengan komik selalu mengundang persoalan yang keliru di kalangan khalayak. Jadi apa itu novel grafik?

Persembahan dari sudut zahir, iaitu ianya dibukukan, dijilid cantik (berbanding komik biasa yang menggunakan dawai kokot) serta ditinggi tarafkan kualitinya. Jiaka secara ringkasnya, Novel grafik adalah karya komik yang bernaratif panjang dan dibukukan.

Istilah ini sudah biasa dan tidak lagi mengundang polemik di barat. Namun di Malaysia ia masih agak baru untuk difahami. Secara mudah novel grafik adalah karya yang sama seperti novel biasa tetapi corak persembahan yang berbeza iaitu beratnya kepada aspek visual.

Genre ini lebih merujuk kepada karya yang agak berat serta dewasa isinya. Di barat novel grafik agak popular. Begitu juga di Negara jepun. Karya Katshuhiro Utomo “Akira” boleh lah disifat sebagai novel grafik. Seperti juga karya Alan Moore “The League of Extraordinary Gentlemen”. Banyak juga karya-karya novel grafik sudah diterjemah dalam bentuk filem seperti “Wacthmen”, ‘From hell” dan “Sin City”.


Malaysia sudah lama bermula dengan genre ini pada 80-an. Tetapi penggunaan terma ‘novel grafik’ masih asing dan lewat diguna pakai secara meluas. Boleh juga kita sifatkan novel grafik solo antara yang terawal adalah “Mat Som” karya Dato Lat yang diterbit pada 1989.

Sebuah penerbitan bernama ‘Syarikat Penerbitan Bayan’ milik Kartunis lagenda Zainal Buang Hussien, Jaafar taib dan penulis Malungun ada menerbitkan bahan sebegini. Dengan jenama “Novel Grafik Bayan”, ianya menampilkan karya-karya dari pelukis-pelukis yang kini sudah bertaraf lagenda seperti Azman Yusof, Mansur Ibrahim dan ramai lagi. Bertahan hanya beberapa tahun iaitu dari 1987 hingga 1991 dengan terbitan sebanyak 20 judul termasuk karya Azman Yusof ‘Selendang Mayang’ dan karya Al-Dino ‘Mori’. Ini adalah retetan penting dalam genre yang agak asing ini.

Raja Kartun, Rejabhad tampil dengan karya seperti ‘Selendang Siti Rugayah’, ‘Tan Tin Tun’ dan “masterpiece” nya, ‘Perwira Mat Gila’. Ianya dibukukan oleh Creative Enterprise Sdn.Bhd. Ia mengumpulkan semua siri bersambung yang pernah diterbitkan di dalam majalah Gila-Gila sekitar tahun 80-an hingga 90-an. Ini juga boleh dikategorikan sebagai novel grafik.

‘Jenama’ yang agak segan digunakan ini terbit kembali pada 2006 dengan karya “Mambo di Kuale!!!” oleh Nur Azmi Mokhtar atau lebih dikenali sebagai Mie Mambo terbitan Al-Ameen Serve Holdings Sdn. Bhd. Agak ganjil bunyinya apabila sebuah penerbitan yang begitu terkenal dengan buku-buku panduan dan pendidikan awal kanak-kanak menerbitkan bahan seperti ini. Al-Ameen juga dikenali melalui buku panduan “best seller”, ‘Jutawan Senyap’ tulisan Chef Li.

Selepas itu menyusul novel grafik kedua dari karya penulis dan pelukis yang sama berjudul “Kasih dan Awang: Hikayat Cinta Purbakala” di ikuti dengan lima siri “Mambo”. Masih lagi Al-Ameen menjadi tonggaknya di bawah jenama Ameen Kreatif. Terma ‘novel grafik’ kembali menjadi bising. Lalu diikuti oleh beberapa penerbitan lain yang menerbitkan bahan dalam genre yang sama. Di sini Al-Ameen kelihatan seperti menjadi pelopor kepada jenama yang asing dalam dunia penerbitan negara kita.

Boleh lah dikatakan Nur Azmi dan Al-Ameen kembali menghidupkan kembali genre ini lantaran sebelum ini sudah ada karya yang bersifat sebegini. Contohnya karya kartunis Aie, “Aku dan Sesuatu” serta kartunis Tembakau “Kartini”. Tetapi karya-karya ini tidak menggunakan terma ‘novel grafik’ sebaliknya ‘komik’ .Karya Aie “Aku dan Sesuatu” kemudiannya diterbit semula oleh Al-Ameen dan dijenamakan semula sebagai novel grafik.

Sebelum muncul karya “Mambo di kuale!!!”, jika kita rajin menggeledah khazanah seni Negara kita, kita akan terjumpa karya-karya yang boleh disifat sebagai novel grafik. Antara contohnya karya kartunis muda Alif Firdaus iaitu “Orang Kuat”. Karya ini dikeluar secara indie oleh Alif Firdaus. Sudah tentu publisitinya terlalu kecil. Edarannya juga agak terhad iaitu di kalangan kawan-kawan sahaja.Karya ini menarik perhatian website komik dari Indonesia www.pragatcomic.com. Komuniti komik besar di Indonesia ini menyifatkan “Orang Kuat’ adalah novel grafik “underground” manakala “Mambo di Kuale!!!” dari penerbit “major label”.Sememangnya ada kebenaran kerana dunia amnya lebih merujuk kepada alam mainstream berbanding “underground”.

Nur azmi bermula sebagai illustrator serta artis bebas yang berkarya dalam pelbagai genre termasuk komik. Paling menonjol beliau berkarya dalam genre catan. Catan gaya seperti ‘naïve’ bentuknya mendapat perhatian di dalam dan di luar negara. Menghimpun pengumpul seni yang boleh dikira baik. Bolehlah disifatkan karya novel-novel grafiknya salah satu ekspresi seni lukisnya. Bezanya, ia menggabungkan naratif dalam bentuk teks.

Bercakap tentang “Mambo di Kuale!!!’ dan siri ‘Mambo’, ia masih dalam gaya komik yang seperti dikenali. Tetapi konsep penceritaan yang lebih kompleks isinya. “Mambo di Kuale!!!” masih menggunakan gaya bahasa jalanan atau pasar. Tidak mengongkong pembaca yang rata-ratanya kalangan muda. Tetapi karya ini sukar dihadam golongan remaja dan anak-anak bawah umur. Berbalik kepada definisi ‘novel grafik’ yang menekankan audien dewasa di kalangan pembacanya.

Berikut adalah definisi terma ini dari pelbagai pihak:

Alan Moore pada awalnya berpendapat novel grafik adalah hanya jenama pasaran bagi buku komik yang mahal. Namun beliau begitu terkenal dengan karya-karya novel grafik yang popular seperti “V for Vendatta’ dan “The League of Extraordinary Gentlemen” yang kedua-duanya diangkat ke layer perak.


Pengkritik Douglas Wolk menyifatkan novel grafik adalah karya seni visual yang tidak semestinya disertai teks. Ada juga karya novel grafik tanpa teks dan hanya visual sahaja. Di sini penekanan aspek penceritaan yang lengkap di awal, dipertengahan dan akhir cerita walaupun methodnya komik.

“Grafik novel bukan satu spesis kartun. Samalah keadaannya bahawa ikan paus itu bukan satu spesis ikan. Sungguhpun ikan paus pada zahirnya berupa ikan, berenangpun macam ikan tetapi tidak ada orang berilmu tentang ikan yang berani mengatakan bahawa ikan paus itu ikan.Tentu sekali dan juga kita tidak boleh kita memartabatkan ikan paus itu sebagai ikan dalam golongan bangsawan.

Begitulah juga dengan novel grafik. Roh novel grafik, yakni citarasa yang ingin diransangkan oleh pengkarya terhadap pembaca tidak sama matlamatnya dengan kartun.”

-Tn Hj Che Mazlan Saad
Penerbit
Pengarah Urusan Al-Ameen serve Holdings


“ Novel grafik adalah kemuncak karya kepada komikus dan kartunis dalam kerjaya mereka. Seperti penulis, kemuncak karier mereka menghasilkan novel. Ibarat ianya ‘Phd’ kepada komikus dan kartunis.”
- Hj. Zainal Buang Hussien
Kartunis veteran


Di dalam novel grafik tiada format kursus dalam penyampaian visualnya. Tidak seperti komik biasa yang menetapkan stroke tertentu untuk cerita tertentu. Seperti ‘manga’ yang secara visualnya agak stereotype. Kerana komik biasa dikeluarkan dalam kuantiti ‘mass production”. Seperti halnya dengan majalah humor yang banyak terdapat di pasaran.

Novel grafik diolah bebas mengikut pendekatan yang mahu disampaikan sendiri oleh karyawan. Samada ia berdialog atau bisu, itu adalah corak penyampaian. Naratifnya pelbagai dari hal super hero biasa, hal-hal berkait kehidupan seharian, hal emosi, romantik, politik dan pelbagai lagi. Ia terpulang kepada pengkarya untuk bercerita. Seperti juga membaca novel yang pelbagai genrenya. Ada novel cinta, politik dan novel realiti. Hal yang sama diguna dalam penghasilan novel grafik kerana ia salah satu cabang seni rupa cuma ada yang menggabungkan teks. Nyatanya ia dipanggil novel grafik apabila ianya dicetak serta dijilid dalam bentuk buku.

Seperti novel teks, pembaca perlu membina imiginasinya sendiri untuk mendapat mood cerita. Novel grafik dibantu oleh illustrasi yang kadangkala ekspresif bentuknya. Tidak salah jika dikatakan novel grafik adalah untuk audien pembaca yang meminati bahan bacaan yang disertakan bersama seni visual. Kebanyakan audien yang membeli dan memiliki novel grafik menjadikan bahan ini sebagai koleksi ekslusif di rak buku. Nampak tidak janggal novel grafik pada zahirnya dalam bentuk komik tetapi dibuku kemas dengan kualiti yang menyamai buku serius atau novel tersusun dengan di sama martabatkan dengan bahan bacaan serius yang lain.

Seperti penerbitan komik yang biasa dilihat, kos penerbitannya lebih murah dan ringan sifatnya. Seperti majalah yang dibaca untuk mengisi masa lapang. Komik bersifat hiburan dan adalah nyata bagi pembaca yang agak tertekan dengan kegiatan seharian mereka. Komik adalah salah satu pilihan. Seperti mendengar lagu di radio atau menonton tv. Cuma bezanya ia membaca dan melihat visual yang dilukis.Komik dan kartun adalah seni visual dalam kawanan ‘grafik’. Di dalam novel grafik ada juga karyawan yang berlatar belakangkan seni halus. Nur Azmi adalah contoh karyawan novel grafik Malaysia yang berlatar belakangkan seni halus dan komik.

Tidak ada mazhab seni yang perlu para penggiat seni visual wajib akur dengan sesuatu konsep. Begitu halnya dengan penghasilan novel grafik. Novel grafik boleh juga disifatkan karya komik alternatif. Ada juga penggiat novel grafik yang digelar komikus indie.

Ada juga karya novel grafik yang tidak bersifat popular dan kebanyakannya memang begitu. Komik lebih membawa unsur pop di dalam karya. Dari sudut ‘content’, komik juga boleh menjadi seperti karya serius yang lain. Bergantung kepada subjek yang diketengahkan. Komik-komik yang serius dan berat ‘content’ nya diangkat kalangan pemerhati sebagai novel grafik. Di sini seolah kita melihat darjat komik yang diangkat ke tahap yang tinggi. Seperti hal dengan lukisan yang dilukis oleh pelukis upahan. Ini banyak terdapat di Thailand dan Indonesia, di mana pelukis yang diupah diminta meniru kembali lukisan ‘master’ dalam kuantiti tertentu. Bagaimana pula halnya dengan karya catan hasil tangan dari Datuk Ibrahim Hussien, Datuk Syed Ahmad Jamal atau Abdul Latif Mohidien? Bagaimana karya-karya mereka dianggap ‘masterpiece’? serta membeza kan karya-karya mereka dari sudut nilai.

Merujuk kembali pendapat katunis veteran dan lagenda, Zainal Buang Hussien,karyawan novel grafik dari pelbagai latar belakang (paling ramai di kalangan pelukis komik dan ada dari latar belakang seni halus) menjadikan karya novel grafik mereka sebagai ‘masterpiece’. Ia ibarat dunia kemuncak bagi karya bebentuk komik. Seperti hal dengan muzik yang menyifatkan ‘keroncong’, ‘jazz’ dan ‘orkestra’ dalam darjat yang tinggi, walhal ia perkara yang sama iaitu muzik.

www.nurazmiworld.blogspot.com

Tiada ulasan: