A Wanderer For The Sake Of Life
Nur Azmi Mokhtar
Apakah kalian pernah dikunjung ragam fikrah di mata,minda dan hati? Sesiapapun punyai visi yang berbalam kabur. Ia bukan sesuatu yang patut kita sembunyikan paling tidak mengakui keberadaannya secara lahiriah pada setiap manusia. Apakah visi dan misi yang telah terlaksana? Peratusan memecah buah fikir boleh dijelmakan sebagai tohor statusnya. Ia lama mendiam di kalangan warga kita yang acapkali memaling kepada susuk 'escapist'.
Beberapa teman sering juga bertandang ke teratak Penulis bersoal itu,ini,begitu dan begini. Persoalan dogmatik,pragmatikal,teoritilkal sehingga kepada kata-kata utopia yang semakin menjadi bahana trauma serta tidak kurang ia semakin dibentur menjadi dogma.Penulis mengakui pecahan fikrah menebar dewasa ini dalam khalayak muda. Mereka bangun seolah merencamkan kritis dan idealistik.Penulis cuba merungkai setiap helaian kebangkitan apakah ianya bersifat lebih praktikal atau sebagai hidangan teoritikal pasif di kalangan muda-mudi kita. Berapa ramai yang benar mematri perjuangan yang didokongi? Contoh ironi di sini Penulis merujuk kepada paksi revolusi yang kerap beroleh ganti samada pengikut mahupun pencetusnya.Asas yang kita ketahui, manusia berpusing ke segenap ceruk ruang namun hakikatnya mereka mahukan kehidupan. Apakah benar pencetus revolusi mahu menambah baik nilai hidup masyarakat atau agenda tersembunyi mereka (yang selalu dibuang pandang) sekitar nafsu dan kemahuan individualistik?
Hal-hal berkait seolah beriras sudah bercambah di kalangan pendokong da'wah. Ini membangkitkan putaran berulang di mana generasi mutakhir telah memandang agama sebagai pencetus ke arah keretakan sosial.Perkara ini semakin terang sedang di era peralihannya. Kita tidak segan silu mengangkat ideologi-ideologi (rata-rata dari luar) lalu membelah pinang bersama agama. Sebagai saksi telinga dan mata, kita sudah kerap melihat pendokong haraki Islam melaungkan slogan ' demokrasi' mahupun konsep Utopia. Apakah mungkin Utopia yang dicanangkan dipetik sunting dari perbahasan Sir Thomas More? Apakah Utopia yang diwar-warkan itu tidak ubah seperti Idea sosialisme, Komunisme, nasionalisme dan beribu slogan yang terwujud di muka bumi ini? Rata-rata kita ketahui, semuanya gah pada jenama atau istilah. kebanyakan membina status atau tidak lebih dari teori-teori domino. Bagaimana kisahnya pada realiti manusia dan kemahuan tulus mereka?
Penulis mengambil diri Penulis sebagai susuk ujian. Sejak mengenali dunia luar ketika menjejak kaki ke menara gading, penulis terbangkit keterujaan ideologi. Kepelbagaian yang wujud sememangnya mencetus kekeliruan walaupun ia sering dianggap bijak pandais ebagai warna perencah fikrah berkembang.Diakui ia membentuk pesonaliti dan fikrah namun tidak mampu Penulis mencampakkan kebenaran di mana fikrah tamadun ciptaan manusia telah membentuk blok-blok berjurang.Penulis masih ingat bagaimana pengalaman menganuti fahaman Sosialis setelah teruja dengan ikon seperti Che Guevara. Sosialisme yang masih ramai peminatnya kabur sehingga mereka lebih mendekatkan anutan ini soninim dengan Karl Max dan Friedrich Engels walaupun nama Robert Owen terbit juga sekali sekalanya. Penulis menganuti ideologi ini setelah menyusur pengalaman bertahun bersama beberapa haraki Islam. Penulis mengamati haraki Islam yang berbagai dan Penulis merasakan ia adalah pegangan baik sebelum sosialis menjadi tarikan Penulis.
Ketika menjengah usia 23 tahun, khalayak pro-logik muncul membangkitkan minat penulis merapati mereka. Mereka terbahagi kepada gelaran pelbagai. Kita ketahui keberadaan Aties dan bebas-fikir. Kita juga selalu melempar tuduhan kesesatan atau lebih tepat-tiada tempat untuk mana-mana syurga.Penulis memerhati ini sebahagian dari kitar kembara manusia. Bermula tamadun fikir manusia dalam mencari Tuhan seperti Ibrahim A.S yang merenung matahari dan bulan. Seperti Namrud dan pengikutnya membina tugu-tugu sembahan. Kita juga mengetahui di mana manusia Melayu adalah pengamal animisme yang beralih kepada Hinddhu-Buddha sehingga memeluk Islam. Kita diceritakan sekelumit perihal pagan tetapi Penulis kerap mencermin pandangan diri kepada kelompok Proto-Melayu yang masih berlegar di sekeliling kita. ia adalah pencarian fitrah dari rasa bertuhan sehingga menolak Tuhan. Dari menolak Tuhan kepada mencipta pelbagai ideologi yang sebenarnya mirip kepada membentuk Tuhan kepada diri. Penulis sendiri pernah menolak Tuhan dan menganggap agama utama di dunia sebagai ciptaan sistematik dari pengasasnya. Ini adalah cerita benar dan ia bukan dicipta Penulis.
Sehingga Penulis berusia 26 tahun, Sosialisme dan Pro-Logik mula meluntur di atas beberapa faktor bercanggah. Penerokaan baru timbul dan pergi satu persatu. Secara jujur Penulis sangat menjamah nasionalisme sehingga ia sukar dilebur oleh mana-mana ideologipun. Setelah bergelar suami dan bapa, kelihatan hijab-hijab yang terselak memperjelaskan apakah haraki sebenar manusia di muka bumi ini. Bumi adalah sfera tetapi ia juga rataan yang tidak kaku. Sehingga tulisan ini ditulis, Penulis telah membuang faham ideologi yang pernah dipeluk erat suatu ketika. Tidak ada yang nyata selain manusia itu mahu hidup (dalam erti kata yang luas) dan kehidupan itu terbahagi kepada fasa-fasa yang telah ditakdir. Rasa berTuhan bukanlah sensasi yang boleh dicipta reka. Ia bukan dibentuk oleh mana-mana organ politik. Penulis menolak kepada aliran berjenama haraki Islam yang mendakwa perjuangan Islam itu adalah berdasar parti. Ia tidak lebih kepada tarikan sokongan berbentuk politik dan tidak keterlaluan membentuk perpecahan pola yang meruncing. Dewasa ini, pegangan sebegini sudah menggunung di amana-mana. Khalayak Pro-logik juga semakin memuncak naik. Apakah kehairanan yang melampau apabila latar tokoh yang kita kenal becermin haraki Islam berubah kepada Pro-logik ataupun kacukan sekularime dan Islam itu sendiri? Tiada yang mustahil dan tiada yang maksum pun.Ia juga bukan sesuatu yang yang mampu direncana kemas oleh mana-mana makhluk.
Kita (manusia) adalah 'Pengembara Demi kehidupan'
Nur Azmi Mokhtar
Kuala Lumpur.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan