Jumlah Paparan Halaman

Sabtu, September 18, 2010

TERINGAT-INGAT

Raya baru ni terjumpa kawan lama yang karib sangat suatu masa dulu. Namanya Hafizi. Saya semasa memandu dari Kuala Lumpur ke Kuala Kangsar, ada tersebut namanya. Tak sangka bertemu di kolam memancing Kampung Kati pada hari raya. Saya ikut jalan lama, ya..pasal highway agak sesak. maklumlah balik raya. Saya menyusur jalan lama yang agak friendly. Semasa tiba di Slim River, isteri saya menunjukkan rumah lama yang dah usang. Masa kecilnya isteri saya dan keluarganya menetap di situ. Terlihat juga sekolah lamanya yang kini serba baru.Saya melayan kenangan isteri saya. Slim River begitu rapat dengan dirinya.

Setiba di Kati, Kuala Kangsar, saya mengatakan kepada isteri saya dahulunya Kati sebuah pekan yang sibuk. Kati dunia segalanya bagi saya dan kawan-kawan nketika kanak-kanak. Tadika yang kami belajar dulu dah tiada dan kini menjadi tapak pasar. Semasa saya lalui jalan besar Kati, saya lihat beberapa peniaga berniaga sempena Ramadhan di situ. Jumlah peniaga pun sudah kurang kerana ramai yang berniaga di bandar Kuala Kangsar yang sudah tentu lebih ramai pelanggan.

Saya lihat tapak pasar ikan yang dah jadi rumah. Pasar sayur juga dah tiada. Kini ia menjadi tempat senaman awam. Kedai kraf dan tukang logam juga sudah tutup. Kedai gunting hanya Pak Hamid yang tua masih setia berkhidmat. Kedai gunting Pak Berahim dah lama tutup setelah beliau meninggal dunia. Kilang papan juga sudah jadi pam minyak.Saya ingat ada kawan cina saya yang fasih bercakap loghat Perak-Yong, di mana ya dia sekarang?Kedai getah sekerap hanya Abon yang masih setia. Saya singgah kedai Ah Ba dan Ah BA menegur saya. Dia mengagah anak saya Kasih. Ah Ba dah tua sangat saya tengok. jalannya pun sudah lambat.

Saya hantar anak isteri ke rumah orang tua saya. Selepas itu saya merayau keliling desa. Mana pergi kawan-kawan saya? Sudah tentu ada kehidupan sendiri sekarang. Beberapa kedai runcit sudah tiada. Saya menyusur jalan ke sekolah menengah. Itu sekolah saya dulu. Semakin besar sekolah ini. Sekolah Menengah Temenggong Kati, ini juga sekolah Yop Aziz dj radio rtm Ipoh. Dulu ada kebun pelajar hampir dengan pinggir jalan raya. Kini kebun tersebut sudah tiada. GAraj basikal juga tiada. Oh..pelajar sekarang sudah menunggang motosikal ke sekolah. Banyak sungguh bezanya. Saya termenung di dalam viva. Saya renung jauh ke sudut ladang getah yang sudah dilapangkan. Masihkah ada lagi kawan-kawan saya yang setia di kampung ini? Harapan saya hari raya bakal menemukan saya dengan mereka. Jawapannya ketika raya yang singkat, saya bertemu beberapa rakan-rakan yang sememangnya masih setia di sini. Kami berpelukan gembira dan air mata tak sedar perlahan bergenang.Kerana ada beberapa rakan kami sudah pulang ke Rahmatullah...Al Fatihah....

Tiada ulasan: