Setelah 3 minggu saya tidak menyentuh berus mahupun pen,pensil,warna,kertas mahupun kanvas. Pada waktu ini saya bekarya kembali. Sepanjang tempoh 3 minggu lalu saya banyak menghabiskan waktu dengan membaca belasan judul buku-buku samada yang saya beli bersama isteri di gedung buku ataupun naskah buku yang kami pinjam dari Perpustakaan DBKL Cawangan Sentul. Buku-buku yang dihadam kami (saya dan isteri) pelbagai topiknya. Antara buku-buku yang menjadi santapan kami selama 3 minggu yang lalu adalah Rajahs and rebels-the Ibans of Sarawak Under Brooke Rule,1841-1941,Hari Itu Sudah Berlalu karangan Zainuddin Maidin, Malaysian in Random,Life's:Strange But true,Cendul Pulut Kurang Manis tulisan Abdul Jalil Ali,Buaya Tembaga susunan Azmah Nordin, Hidup Melayu Bersatu tulisan Abdul Ghani Othman dan beberapa judul lagi.
Bukanlah tidak bekarya secara total. Malah saya ada menulis beberapa coretan yang kerap di muat naik ke kumpulan Facebook saya Mie Mambo and Superfriends. Coretan berupa pojok,anekdot,sastera kotemporari serta artikel tersebut sudahpun dikumpul. Ada beberapa belas naskah karya-karya tersebut bakal diterbitkan di dalam buku terbitan mandiri saya bersama sahabat penulis/pelukis/wartawan Nazri Ahmedeus. Kami berdua memilih karya masing-masing untuk dimuatkan ke dalam naskah yang menghimpun karya-karya penulisan beserta ilustrasi/lukisan yang sangat asing daripada kebiasaan karya-karya kami yang berada di pasaran. InsyaAllah dan kami berdoa untuk dihindar dari aral melintang agar buku kerjasama kami ini dapat berada di pasaran kelak.
Selain itu saya juga dihadiri tetamu-tetamu yang pelbagai latar belakang. Sebahagian besar daripada mereka adalah pelajar-pelajar dari IPTA dan IPTS sekitar Lembah kelang. Seperti biasa rakan-rakan karyawan samada pelukis, penulis, penggubah lagu,wartawan,sasterawan mahupun pereka sering berkunjung ke kediaman saya dan keluarga di Pangsapuri Gombak fasa 2.Saya juga sudah menjadi seperti guru tuisyen kepada beberapa pelajar dari IPT. Mereka ada keinginan menambah ilmu serta mendampingi orang-orang yang berpengalaman, berpengetahuan serta konsisten di dalam bekarya. Walaupun kadangkala saya suka berseloroh kasar dengan mereka, mereka tidak ambil hati. Saya juga begitu, berkongsi pengetahuan dan pengalaman dengan ikhlas. Saya sukakan inisiatif mereka.Mereka bakal menjadi karyawan besar kelak.
Dalam tempoh 3 minggu itu juga penuh dengan kegiatan menulis dan menyiapkan kertas cadangan, kertas kerja serta menghabiskan rakaman lagu terbaru kumpulan musik saya Mambo N Vester. Pasca Nuras membuatkan karya-karya musik saya mengecilkan bunyi-bunyian distorsi ke dalam musik saya. Dibantu Vester atau nama sebenarnya Silvester Tawi, anak muda dari Limbang, Sarawak yang pada saya banyak melegakan walaupun agak kepenatan. Vester bermain gitar sama seperti dia memetik sape, sejenis alat musik bertali kaum Dayak di Borneo. Latar belakangnya seorang Iban banyak membantu perjalanan Visi dan misi Mambo N Vester sendiri. Paduan dua belia yang seorang Iban dan seorang lagi (saya) pula Melayu pada umumnya tetapi saya selalu mewar-warkan saya berdarah Kelantan, Minangkabau,kerinchi dan Cina.
Cukuplah coretan sampai di sini, saya perlu menyambung banyak tugasan..
Nur Azmi Mokhtar
Pangsapuri Gombak fasa 2,
kuala Lumpur
Tiada ulasan:
Catat Ulasan