Jumlah Paparan Halaman

Sabtu, Oktober 15, 2011

SEMAKIN BANYAK ILMU DITIMBA SEMAKIN KUAT AMANAH DIPIKUL

Salam kepada semua pengunjung yang dah agak lama juga saya tidak mengemaskini laman 'blog' ini. menghilang selama beberapa bulan dengan tanggungjawab kerjaya serta ketua keluarga bukanlah mudah. Saya selesai menyiapkan 10 karya terbaru yang bakal diterbitkan oleh MediaInk Publishing (Melaka). Selepas menghela nafas lega saya terus menyambung kerja ilustrasi untuk beberapa buah buku teks Pendidikan Islam (swasta) Rangkaian Musleh seluruh Malaysia. untuk menjayakannya, saya menandatangani kontrak bersama Al Ameen Serve Holdings Sdn Bhd. turut serta dalam ibadah ini adalah Ad (Tiong Man) dan Cd Hamdan. Pihak Al Ameen juga menjemput dua artis dari Iran iaitu Cik Ilham dan Cik Samaneh Rahbarnia. Rahmat Allah menemukan kami dalam suasana kerja yang penuh ceria walaupun setiap hari cabarannya boleh disifatkan tinggi. Cik Ilham dan cik Samaneh Rahbarnia cerita uniknya bertemu di Malaysia atas usaha Encik Ali dan Hj. Che Mazlan Saad. Di negara kelahiran mereka, mereka tidak pernah bertemu.

Apa yang menarik di sini, Ibadah ini mengeratkan kami insan-insan kecil sesama muslim dari dua buah negara. Ya dua negara yang berbeza dari sudut budaya dan geografinya. Bangsa Melayu dan Parsi berganding bahu dalam hal ini. Mungkin ada yang mengingati akan mazhab masing-masing yang dianggap berbeza (klisenya Sunni dan Syiah) Itu mungkin cerita lama yang sedih. Tidak mahu lagi kalangan muda seperti kami dan karyawan Iran yang terlibat mahu mengungkitnya lagi. Kami bersatu atas nama Muslim. Saya fikir majoriti ummat awam yang lahir dari dua mazhab besar ini juga tidak lagi memandang perbezaan. ketara lewat ini apabila semuanya bercerita dalam nada yang sama. Menyatu dengan bertanya kepada persamaan. Sungguh Maha Bijaksana Allah tidak dapat dihalang oleh mana-mana makhluk. allah mengajar setiap hamba-hambanya melalui cara-cara yang sungguh menakjubkan.

kegembiraan dikala menyiapkan kerja masing-masing di pejabat akan dikenang sehingga bila-bila. Ibadah ini tidak akan mati di sini sahaja. Saya juga belajar sedikit sebanyak beberapa perkataan Parsi. Begitu juga mereka berdua yang banyak belajar. Kami terpaksa berhubung dengan Bahasa Inggeris. Pada minggu pertama mereka berdua kekok, kini genap sebulan Bahasa Inggeris mereka semakin meningkat. Samaneh Rahbarnia juga sudah banyak belajar bahasa melayu. Pantas minda gadis berusia 29 tahun ini. Regunya cik Ilham yang berusia 37 tahun, seorang pensyarah dan sudah tentu matang perlakuannya. Saya sudah memulakan illustrasi untuk buku cerita akhlak pula. Mereka sedikit menkagumi karya saya. begitu juga saya. Cik Ilham sehingga merakam gambar dilensa kameranya ketika saya menyiapkan karya saya. Sesungguhnya mereka adalah sahabat-sahabat yang baik.

Apabila pulang ke rumah, saya tak habis bercerita dengan isteri saya. Cik Ilham juga bertemu isteri dan anak saya. Begitu juga Ad yang sudah lama juga berkenalan tetapi tidak pernah bertemu dengan ahli keluarga saya. Syukur Allah menyusun segala sesuatu dengan Maha Kudrat dan Iradatnya.Saya tidak merasa tekanan sebaliknya ketenangan. Bila pulang saya akan menyibukkan diri dengan kerja-kerja lain. Saya juga tak lupa akan kerja-kerja muzik saya. NURAS kini semakin hampir selesai rakaman album baru yang berjudul 'Wisma rok n roll'. Saya pula sudah memikirkan karya NURAS yang mendatang. Dalam kotak fikir kini saya mahu NURAS lebih membawa muzikal dan lirik ke arah pencerahan akan datang. Ada timbul perkataan 'Madrasah hati'. Oh..mungkin panjang lagi perjalanannya. NURAS juga akan merakam video klip untuk single yang akan diedar ke seluruh stesen radio dan televisyen. Tak lupa karya itu juga akan dimuat naik di laman 'Youtube' sebagai kemudahan perkongsian yang rasanya sudah menjadi perkara wajib. Apa-apa pun kepada semua yang pernah memiliki karya-karya saya sebelum ini, terima kasih diucapkan. sama-sama kita berdoa agar berjaya di dunia dan akhirat.

Amin


Tiada ulasan: