Sastera
Oleh ANI AWANG
PENULISAN novel grafik bukan satu perkara mudah. Ini kerana seseorang penulis itu perlu menulis rangka cerita terlebih dahulu sebelum melukis grafik dan dialog dalam novel tersebut.
Penulis dan pelukis muda Nur Azmi Mokhtar, 26, telah membuktikan kebolehannya dalam menghasilkan novel grafik pertamanya, Mambo di Kuale.
Menurutnya, dia mengambil masa dua bulan untuk merangka cerita dan menulis serta melukis novel tersebut.
“Idea menulis novel ini muncul sejak tiga tahun lalu.
“Oleh kerana pada masa itu saya sibuk dengan pelbagai pameran lukisan saya terpaksa tangguhkan penulisan novel ini.
“Saya mahukan novel ini menjadi bahan bacaan yang berguna kepada generasi muda kerana novel ini sesuai dan santai,” kata Nur Azmi kepada Mega di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Katanya, Mambo Di Kuale adalah cerita mengenai watak seorang pemuda iaitu Putra Haji Hassan yang sudah tiga tahun tinggal di Kuala Lumpur.
Putra menghadapi pelbagai konflik jiwa dengan teman wanitanya Shima, bapa dan rakan-rakannya.
Putra akhirnya pulang ke kampung di Kuala Kangsar, Perak.
Kepulangannya ke kampung telah merapatkan kembali hubungannya dengan bapanya dan Putra jatuh cinta dengan Mahani yang menjadi tunang orang.
Putra kemudian kembali ke Kuala Lumpur dan bertemu dengan kekasihnya Shima yang masih setia kepadanya.
Jelas Nur Azmi, tidak ramai penulis dan pelukis yang boleh menerbitkan novel grafik di negara ini berbanding dengan penulis novel grafik di Barat.
Beliau berkata, novel ini merupakan novel grafik kedua di Malaysia selepas novel grafik Mat Som yang ditulis oleh kartunis Datuk Lat (Mohd. Nor Khalid) kira-kira 15 tahun lalu.
“Menulis novel grafik sama seperti menulis novel biasa tetapi ia memaparkan dialog dan grafik. Saya percaya sambutan terhadap novel grafik menggalakkan kerana trend remaja sekarang yang mahukan bahan bacaan yang menghiburkan dan bermutu di pasaran,’’ tambah Nur Azmi yang juga meminati muzik.
Beliau merupakan pelukis catan dengan gaya post naive. Nur Azmi pernah mengadakan pameran lukisan berkumpulan Art Through The Heart di Kuala Lumpur pada 2005.
Karya-karya Nur Azmi seperti kartun pernah diterbitkan oleh beberapa majalah humor tempatan.
Beliau berharap karyanya kali ini diterima oleh generasi muda kerana ia boleh menjadi panduan kepada mereka dalam menempuh kehidupan.
tulisan ini dipetik dari laman web rasmi Utusan Malaysia-www.utusan.com.my
5 ulasan:
wah,ade msk kuala kangsar,kena beli nih..hehe..
menarik la kaver buku ni, bp hargenye?
tahniah!
Azmi
url baru blog aku http://avantgarde-zine.blogspot.com/
Ni first time dengar pasal novel grafik ni. Dia macam komik ker? macam mana satu2 karya boleh dikategorikan novel grafik? Kat kedai mana ada jual buku ni?
best regards, nice info » »
Catat Ulasan